SEPTEMBER 2024

Sarawak Laksana Inisiatif Ekonomi Hijau, Pelihara Alam Sekitar


SINGAPURA: Inisiatif Ekonomi Hijau yang dilaksana Sarawak sebagai menyahut cabaran berikutan perubahan iklim dan pentingnya membangunkan hutan dan tanah secara mampan dan melindungi alam sekitar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, membangunkan sumber semula jadi dengan industri seperti tenaga diperbaharui, ekopelancongan dan pertanian mampan hendaklah selari dengan kelestarian pembangunan.

“Sarawak komited membangunkan ekonomi hijau untuk memacu Pertumbuhan Kasar Dalam Negeri sambil mengurangkan kesan alam sekitar,” katanya melancarkan Kongres Herpetologi Sedunia Ke-10 di sini yang dihadiri 1,400 delegasi dari 70 negara.

Beliau menegaskan, pembangunan mampan memerlukan pertumbuhan ekonomi seimbang dengan tanggungjawab menggunakan sumber dan corak penggunaan.

Ini untuk melindungi alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim, katanya dan menambah, setiap aspek terhadap ekonomi hijau untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sambil memelihara sumber semula jadi yang masih ada.

Menurut Abang Johari, Ekonomi Hijau Sarawak turut menggabungkan pendekatan ekonomi circular untuk menghasil produk nilai tambah tinggi dan sumber tenaga bagi menangani pelepasan karbon.

Bagi menyokong dasar tersebut, katanya, Sarawak antaranya meminda perlembagaan Peraturan Hutan (Kegiatan Hutan Karbon), 2022, yang menggariskan aktiviti Karbon Hutan dalam hutan kekal di bawah Tanah Negeri atau Tanah Diwartakan.

Pindaan akan datang adalah ke atas Ordinan Taman Negara dan Sumber Simpanan serta pindaan ke atas Ordinan Perlindungan Hidupan Liar yang merangkumi denda dan penjara lebih berat, katanya.

Menurut beliau, satu lagi cadangan Sarawak bagi menangani isu alam sekitar global ialah komited kepada tenaga bersih untuk membolehkan Sarawak dikenali sebagai wilayah bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Sarawak, katanya, berada di hadapan dalam peralihan tenaga dengan membangunkan sumber tenaga diperbaharui seperti air, solar dan angin yang banyak terdapat di negeri ini.

Biodiversiti yang sinonim dengan Sarawak (Borneo), katanya, dihargai oleh seluruh dunia kerana kecantikannya dan masih banyak yang berjaya menarik beratus ribu pencinta alam ke Sarawak setiap tahun.

Sainstis dari Jabatan Hutan Sarawak, Perbadanan Hutan Sarawak, rakan antarabangsa seperti Smithsonian serta Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC) UNIMAS, tambahnya, berjaya menemui lebih 100 spesies tumbuhan dan bintang baharu termasuk 24 spesies amphibia dan raptilia sejak dua dekad lalu

Pada 2023 dan 2024, katanya, Sarawak dalam proses mendokumentasi 18 spesies yang baharu ditemui dengan 12 daripadanya adalah spesies katak.

Yang lain adalah lipas, kumbang dan cicak dan sebahagian daripada mereka yang membantu mendokumentasikan spesies baharu itu adalah Pengarah Kongres Herpetologi Dunia ke-10 (WCH10), Profesor Indraneil Das.

Kekayaan sumber itu masih kekal dalam Kawasan Lindungan Penuh Sarawak iaitu kawasan hutan yang diwujud di bawah Ordinan Taman Negara 1998 dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Sarawak, katanya, menggalakkan bidang sains untuk menemui spesies baharu itu dan bekerjsama dengan penyelidik di wilayah ini dan antarabangsa.

Beliau menggesa UNIMAS supaya memain peranan lebih besar dalam pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar terutama dalam penyelidikan, inovasi dan inisiatif strategik.

Beliau berkata, hanya melalui kolaborasi dengan rakan dan sokongan serta komitmen penuh kementerian dan agensi berkaitan dan pemegang taruh dalam negeri dan antarabangsa, negeri ini akan mencapai Agenda Kemampanan Sarawak

Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Dato Sri Panglima Sulong Matjeraie, Naib Cancelor UNIMAS, Prof. Dr Ahmad Hata Rasit, Setiausaha Agung Kongres Herpetologi Dunia (WHC), Dr Judit Voros dan Pengarah WHC10, Prof. Dr Indraneil Das.